Surah Al-fatihah
[1
] Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[2
] Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
[3
] Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[4
] Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
[5
] Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
[6
] Tunjukilah kami jalan yang lurus.
[7
] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan
nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah
murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
Surah Al-Baqarah
[1]Alif, Laam, Miim.
[2]Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya
dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi
orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
[3]Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan
mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan)
sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
[4]Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Quran” yang
diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan
dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan
sepenuhnya).
[5]Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.
[102]Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir
yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi
Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan
kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan
amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir
dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri
Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun
melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya
kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah
engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga
orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh
menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak
akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir
itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka
mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi
manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu)
telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah
lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat
buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka
mengetahui.
[163]Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak
disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[164]Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam
dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa
benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air
hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya
tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari
berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan
awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit
dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang
membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan
rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.
[255] – Ayatul Kursi (The Throne Verse)
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan
(sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang
memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa
yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan
izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada
di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari
(kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu
kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi
langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga
serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat
kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)
[285]Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari
Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada
Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya.
(Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang
lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat
(kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat
kembali”.
[286]Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia
mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa
kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai
Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau
kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami
bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada
orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan
maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah
rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami
untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.
Surah Al-i-imran
[18]Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan
bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,
Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan
malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan
menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[19]
Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.
Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak
berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan
setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya;
(perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam
kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan
ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan
hisabNya.
Surah Al-Araf
[54]Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi
dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam
dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia
pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang,
(semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah
tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan.
Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.
[55]Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara)
perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
melampaui batas.
[56]Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan
segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan
perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan
terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu
dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.
[117]Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Campakkanlah tongkatmu!” Maka
tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan
sihir mereka).
[118]Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batalah (sihir) yang mereka telah lakukan.
[119]Oleh itu, kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.
[120]Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud,
[121]Sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam.
[122]“(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun”.
Surah Yunus
[81]Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:” Apa yang
kamu datangkan itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan
kepalsuannya (dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku);
sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang
melakukan kerosakan.
[82]“Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan
kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh
orang-orang yang melakukan dosa”.
Surah Toha
[69]“Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan
segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa
yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir
itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada”.
Surah Al-Mukminun
[115]“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu
(dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan
itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
[116]Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh
alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang
mempunyai Arasy yang mulia.
[117]Dan sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan
tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka sesungguhnya
hitungannya (dan balasan amalnya yang jahat itu) disediakan di sisi
Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya.
[118]Dan berdoalah (wahai Muhammad dengan berkata): “Wahai Tuhanku,
berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja
sebaik-baik Pemberi rahmat!”
Surah As-Soffat
[1]Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret -
[2](Hamba-hambaKu) yang melarang (dari kejahatan) dengan sesungguh-sungguhnya -
[3](Hamba-hambaKu) yang membaca kandungan Kitab Suci;
[4](Sumpah demi sumpah) sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah Satu -
[5]Tuhan (yang mencipta serta
mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya,
dan Tuhan (yang mengatur) tempat-tempat terbit matahari.
[6]Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang.
[7]Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka;
[8](Dengan itu) mereka tidak
dapat memasang telinga mendengar (percakapan malaikat) penduduk langit,
dan mereka pula direjam (dengan api) dari segala arah dan penjuru,
[9]Untuk mengusir mereka; dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak putus-putus.
[10]Kecuali sesiapa di
antara Syaitan-syaitan itu yang curi mendengar mana-mana percakapan
(malaikat), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang
menjulang lagi menembusi.
Surah Al-AhQaaf
[29]Dan
(ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin
datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah
mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain):
“Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian
setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya
(menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.
[30]Mereka berkata: “Wahai
kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang
diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran
Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada
kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam)
[31]“Wahai kaum kami!
Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah,
serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian
dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
[32]“Dan sesiapa tidak
menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak
akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia
melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun – yang
lain dari Allah – sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka
(yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata”.
Surah Ar-Rahman
[33]Wahai
sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari
kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan
balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan
menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi
kekuasaan Kami; masakan dapat)!
[34]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
[35]Kamu (wahai golongan
yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan dengan
api yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar);
dengan yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari
azab seksa itu);
[36]Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
SurahAl-Hasyr
[21]Sekiranya
Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau
melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah.
Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat
manusia, supaya mereka memikirkannya.
[22]Dia lah Allah, yang
tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan
yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[23]Dia lah Allah, yang
tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha
Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha
Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha
Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengka pi
segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan
denganNya.
[24]Dia lah Allah, Yang
Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada);
Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya);
bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih
kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada
bandingNya, lagi Maha Bijaksana.
SurahAl-Jin
[1]Katakanlah (wahai
Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu
rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka
(menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami
telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan
kandungannya sungguh menakjubkan!
[2]`Kitab yang memberi panduan ke jalan
yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali
akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.
[3]Dan (ketahuilah
wahai kaum kami!) Bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan
keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau beranak.
[4]`Dan (dengan ajaran Al-Quran
nyatalah) bahawa sesungguhnya: (ketua) yang kurang akal pertimbangannya
dari kalangan kita telah mengatakan terhadap Allah kata-kata yang
melampaui kebenaran;
[5]`Dan bahawa sesungguhnya (nyatalah
kesalahan) kita menyangka bahawa manusia dan jin tidak sekali-kali akan
berani mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah.
[6]`Dan bahawa sesungguhnya adalah
(amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan
melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua
golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan
jin bertambah sombong dan jahat.
[7]`Dan bahawa
sesungguhnya (tidaklah benar) manusia menyangka sebagaimana yang kamu
sangka, bahawa Allah tidak sekali-kali mengutuskan sebarang Rasul (atau
tidak akan membangkitkan manusia pada hari kiamat).
[8]`Dan bahawa sesungguhnya kami telah
berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan
pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan
rejaman-rejaman) api yang menyala.
[9]`Padahal sesungguhnya kami dahulu
biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar
(percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar,
akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.
SurahAl-ikhlas
[1] Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
[2
] “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
[3
] “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
[4
] “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.
Surah Al-Falaq
[1
] Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk,
[2
] “Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan;
[3
] “Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk;
[4
] “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan);
[5
] “Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”.
Surah An-Nas
[1
] Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia.
[2
] “Yang Menguasai sekalian manusia,
[3
] “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,
[4
] “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, -
[5
] “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, -
[6
] “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”.